Program Santuni Komuniti
Vector Quest UMT × SKMT: Menjejak Ilmu, Memperkasa Generasi STEM
Program Santuni Komuniti: Vector Quest UMT × SKMT telah dilaksanakan pada 13 dan 20 Jun 2026 di Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Nerus. Program yang dijalankan dalam dua fasa ini melibatkan seramai 40 orang murid Tahun 6 serta pelajar Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga Kuasa) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu. Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bagi kursus ETK3013 Matematik Kejuruteraan I.
Program ini bertujuan memperkenalkan konsep asas vektor kepada murid melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, kontekstual dan menyeronokkan. Antara konsep yang diketengahkan ialah arah, koordinat dua dimensi dan magnitud vektor yang disampaikan dalam bentuk yang lebih mudah serta bersesuaian dengan tahap murid sekolah rendah. Pendekatan pembelajaran aktif dan berasaskan permainan digunakan bagi membantu murid memahami bahawa matematik mempunyai aplikasi yang dekat dengan kehidupan harian serta bidang sains dan kejuruteraan.
Fasa pertama yang berlangsung pada 13 Jun 2026 memberi tumpuan kepada sesi suai kenal, aktiviti ice-breaking dan pengenalan kepada konsep asas vektor melalui sesi “Kenali Vektor”. Murid kemudiannya dibimbing dalam kumpulan kecil menerusi aktiviti pengajaran mini yang dikendalikan oleh pelajar UMT. Fasa kedua pada 20 Jun 2026 pula menampilkan aktiviti utama, iaitu Vector Treasure Hunt, yang memerlukan murid bergerak melalui beberapa checkpoint dan menyelesaikan tugasan berkaitan arah, koordinat serta aplikasi asas vektor untuk mendapatkan petunjuk seterusnya.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJI), Universiti Malaysia Terengganu atas sumbangan dana yang telah diberikan bagi membantu menjayakan pelaksanaan Program Santuni Komuniti: Vector Quest UMT × SKMT ini. Penghargaan turut diberikan kepada pihak pengurusan, guru-guru dan murid Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot serta semua pensyarah dan pelajar UMT yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sepanjang kedua-dua fasa program.
Disediakan oleh:
Profesor Madya Dr. Hidayatul Aini Zakaria
Pensyarah, Bidang Teknologi Elektrik dan Elektronik
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan, UMT