Pemerkasaan Kemahiran Sistem Bot Kecemasan
UMT Perkasakan Kemahiran Sistem Bot Kecemasan Pelajar Diploma Ranaco Menerusi Program SULAM
KEMAMAN – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK) terus memperluas usaha pemindahan ilmu dan kepakaran akademik kepada komuniti menerusi penganjuran Projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertajuk “Pemerkasaan Kemahiran Sistem Bot Kecemasan”.
Program dua hari yang berlangsung pada 3 hingga 4 Jun lalu itu diadakan di Ranaco Education and Training Institute, Kemaman, Terengganu. Ia melibatkan penyertaan seramai 23 orang pelajar Tahun 3 Diploma Offshore Engineering dari institusi berkenaan dan dikendalikan oleh 13 orang pelajar kursus MMT4233 (Loji Kuasa dan Peralatan Kapal) FTKK UMT.
Projek ini diketuai oleh Ts. Sheikh Alif bin Ali, serta didanai oleh Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJIM), UMT. Program ini turut mendapat sokongan pegawai dan fasilitator universiti iaitu Dr. Sayyid Zainal Abidin bin Syed Ahmad, Dr. Mohd Afifi bin Jusoh, Ts. Dr. Mohd Azlan bin Musa, dan Ts. Dr. Che Wan Mohd Noor.
Menurut Sheikh Alif, penganjuran program SULAM ini bertujuan memberikan pendedahan dan latihan berstruktur kepada pelajar Ranaco dalam memahami sistem injap marin dan pengoperasian bot kecemasan selaras dengan keperluan industri luar pesisir terkini.
“Inisiatif ini menjadi platform terbaik buat pelajar UMT bagi mengaplikasikan teori dan kemahiran amali daripada kursus MMT4233 dalam situasi sebenar. Pada masa sama, ia mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan tanggungjawab sosial pelajar universiti menerusi aktiviti khidmat masyarakat berasaskan pembelajaran,” katanya.